Carilah Lelaki yang Mampu Jadi Imam

 Lelaki yang Mampu Jadi Imam

Asal kepada seorang wanita adalah pengikut. Ertinya, dia berhajat kepada pemimpin dan pembimbing. Asal kepada seorang lelaki pula adalah ketua. Ertinya dia merupakan seorang pemimpin dan pembimbing. Sebab itu dianalogikan suami sebagai imam. Apa peranan imam dalam solat? Guide makmum, kan? Apabila selesai dibaca Al-Fatihah, makmum mengaminkan bacaan tersebut. Apabila imam rukuk, makmum ikut rukuk. Apabila imam sujud, makmum ikut sujud.

Dalam solat, ada imam dan ada makmum dengan segala tatatertibnya. Di luar solat, ada ketua dan ada pengikut dengan segala undang-undang dan aturannya. Begitulah indahnya Islam. Ia datang untuk menjernihkan hidup manusia dan memastikan manusia hidup dalam aturannya yang benar, betul dan tepat.

Perkahwinan

Ia bukan perjanjian sehari dua atau sebulan dua. Bukan juga sampai tua. Ia perjanjian sampai mati. Justeru, sebelum berkahwin, mesti fahami peranan masing-masing dalam perjalanan panjang tersebut. Suami terutamanya. Jangan seronok sahaja kerana digelar ketua. Tetapi tidak pula bersedia bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang ketua. Ada tanggungjawab yang besar Allah bebankan seusai lafaz akad nikahmu. 

Jangan hanya seronok tersengih-sengih dan bergambar mesra kemudian ditayang sehabis bangga di alam maya tetapi bab bersuci pun entah ke mana. Haid dan nifas dianggap sebagai ‘bab orang perempuan’ yang tidak perlu diketahui oleh lelaki. Sebab itu tidak pelik, ada suami menengking isteri bila disoal tentang itu.

"Awak kan perempuan? Hidup dah bertahun-tahun takkan awak tak pandai-pandai lagi bab tu?!"

Suami yang bertanggungjawab tidak akan mengungkapkan kata-kata seperti itu. Hakikatnya, ia adalah ungkapan alasan bagi suami yang mahu lari dari tanggungjawab. Bukankah mengajar isteri fardhu ain itu suatu perkara wajib bagi suami? Bukankah kalau isteri jahil tentang bab-bab haid, nifas, istihadhah dan sebagainya maka suami yang akan menanggung dosanya? Bukankah menjadi kewajipan bagi seorang suami menghantar isterinya ke kelas agama jika dia tidak mampu mengajar perkara-perkara tersebut?

 Lelaki yang Mampu Jadi Imam


Mencari Seorang Imam

Tak kacak tak apa, sebab lelaki memimpin bukan dengan kekacakan. Tak kaya tak apa, sebab kekayaan bukan asbab hebatnya kepimpinan. Ada lelaki rupanya tidak kacak, kulitnya gelap tetapi penampilannya kemas dan kefahaman agamanya cukup baik. Namun ada ramai juga lelaki yang kacak, tetapi rambutnya panjang tidak terurus, pakaiannya selekeh dan tidak langsung menggambarkan ciri-ciri seorang pemuda Islam. Kefahaman agama dianggap perkara remeh. 

Memilih seorang imam tidak mudah. Mungkin ramai wanita akan bertanya, bagaimana mahu memastikan dia seorang imam yang baik? Ada yang merasakan lelaki kaki masjid itu terbaik sebagai imam. Ada yang merasakan lelaki pandai bertazkirah agama itu terbaik sebagai imam. Ada juga yang merasakan lelaki ‘berpengajian agama’ itu paling baik sebagai imam. Sungguh. Ia susah kerana sebagai manusia, kita hanya penilai zahiriah sedangkan batiniahnya, hanya Allah yang tahu. 

Pun begitu, sebagai wanita, anda diberi satu tempoh yang istimewa sebelum anda sah bergelar isteri kepada seorang lelaki. Tempoh itu dinamakan tempoh suai-kenal atau istilah rasminya, bertunang. Ramai orang tidak menggunakan tempoh ini sebaik mungkin. Ada yang belum apa-apa, sudah meletakkan sepenuh ketaatan kepada si tunang. Ada yang melayan borak siang malam sampailah kepada bertemu di taman dan tengok wayang. Jangan tiru tabiat-tabiat seperti itu. Bukan sahaja agama mengatakan ia sebagai tidak baik, bahkan akal juga mengatakan demikian.

Manfaatkan Tempoh Bertunang

Itulah satu-satunya tempoh terbaik untuk anda menguji sejauh mana si lelaki mampu menjadi imam kepada anda nanti. Menguji itu tidak salah. Gunalah pelbagai method yang ada. Jangan mengintip dia di bilik tidur sudah. Antara method yang mungkin anda boleh gunakan adalah, method perbincangan. Jangan lupa, waktu berbincang itu, antara anda dan dia bukan suami isteri. Justeru, tidak ada ‘kewajipan’ sebagai isteri yang perlu anda tunaikan di ketika itu. Demand anda masih tinggi. Anda masih boleh mengatakan ‘tidak’ kepada dia jika tidak kena caranya.

Method berbincang, jika kena caranya, boleh memberi gambaran yang baik adakah si lelaki sudah menepati ciri-ciri seorang imam ataupun tidak. Malangnya, method perbincangan ini tidak banyak digunakan dengan betul. Antara sebab utamanya adalah, sudah jatuh hati dan berpendapat, tiada jalan untuk berpatah balik melainkan meneruskan perkahwinan, biarpun tersingkap seribu kekurangan. Tanpa sedar, ia mencacatkan hikmah sebuah pertunangan.

Asalkan Dia Baik?

Biarlah dia tidak pandai agama pun, asalkan dia baik. Dia sayang saya, prihatin dan saya yakin dia mampu membahagiakan saya. Alhamdulillah, anda telah menemui seorang lelaki yang baik. Tetapi kita di sini tidak bercakap perihal baik atau tidak. Bukanlah lelaki yang meremehkan soal agama itu tidak baik, tetapi seorang lelaki yang baik pastilah tidak akan meremehkan soal agama. Dia pastilah seorang lelaki yang benar-benar mempunyai ciri-ciri seorang imam.

Tudia, carilah lelaki jenis itu sebagai suami. Lelaki yang mampu menjadi imam, dalam dan luar solatmu. Lelaki yang bertegas denganmu dalam hal-hal agama, dan berlembut denganmu dalam hal-hal dunia. Bukankah dirimu mahukan perkahwinan itu sampai ke syurga? Bagaimana mungkin seorang lelaki yang tidak tahu jalan ke syurga boleh membimbingmu untuk sampai ke sana? Buatlah pilihan dengan bijak. Carilah untuk dirimu seorang imam, bukan semata-mata seorang jejaka.








7 Ulasan

  1. salam...

    Mudah2an setiap dari kita akan menjadi pemimpin dan pengikut yang baik... saya masih belajar tentang agama dan pelajaran tentang agama ialah satu perkara yang tiada titik berhenti... harus lagi dan lagi... satu entri dan nasihat yang baik buat mereka yang bakal mendiri kan mendirikan rumahtangga.... biarlah lambat berjodoh asalkan mendapat mereka yang terbaik untuk agama...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu, setuju. Biarlah lambat berjodoh asalkan mendapat mereka yang terbaik untuk agama

      Padam
  2. Sangat bersetuju 200%...sangat penting utk mencari lelaki yang mampu menjadi iman. Bukan sahaja boleh menyediakan tempat tinggal dan pakaian semata-mata

    BalasPadam
  3. Dahulukan soal agama dalam memilih pasangan hidup. kelak dialah yang akan mengemudi bahtera kita. Bak kata orang, biar muka tak handsome asalkan agama tip top, mampu membimbing kita menjadi seorang isteri dan ibu yang baik buat zuriat kita nanti. insyaAllah. (=

    BalasPadam
  4. Memang beul susah mahu cai lelaki yang betul-betul boleh jadi iman ke arah kebaikan, kalau iman kepada kejahatan memang banyak. Semoga masih ramai lagi yang jadi iman dan ketua kepada keluarga mereka.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu, sekarang ni susah betul nak cari..haha

      Padam
Catat Ulasan
Terbaru Lebih lama